Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

Free Web site hosting - Freeservers.com | Web Hosting - GlobalServers.com
Choose an ISP: NetZero High Speed Internet Dial up $14.95 or NetZero Internet Service $9.95

Benarkah Pak Lah "Bersih"?

 

Undi Barisan Alternatif, Tolak Rasuah

 

 

Scomi monopoli projek Petronas, Umno-MCA bergolak?

 

KEGAGALAN besar Abdullah Ahmad Badawi membendung kerakusan anaknya membolot projek Petronas dan kemarahan sekutu rapat dalam pakatan BN - MCA - akhirnya mungkin membawa padah kepada prestasi BN dalam pilihan raya nanti.

Meskipun dalam keadaan kelam-kabut cuba menyelamatkan diri dengan memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui penetapan kempen pilihan raya yang paling singkat dalam sejarah perjalanan demokrasi Malaysia, namun pergolakan dalaman BN yang bakal ditempuhnya mungkin menjejaskan impian indah Abdullah untuk meraih mandat besar nanti.

MCA, melalui syarikat miliknya Huaren Holdings yang menguasai akhbar harian The Star, disifatkan bertindak berani dengan mendedahkan secara lebih terperinci kisah pemberian kontrak bernilai, sekurang-kurangnya, dua bilion ringgit (RM2,000 juta) oleh Petronas Carigali kepada syarikat milik anak Perdana Menteri, Kamaludin Abdullah, SCOMI Group Berhad.

Abdullah sebelum ini cuba menyembunyikan cerita ini daripada diketahui umum secara lebih terperinci, biarpun pimpinan Barisan Alternatif telah berkali-kali menyuarakannya dan mendesak beliau memberikan penjelasan yang sebenar. Malah kisah pemberian projek ini sedang heboh diperkatakan dalam kempen.

Dollah serba salah

Dengan serangan bertubi-tubi ke atas SCOMI Group Bhd yang dimiliki oleh anak lelaki tunggal Abdullah Badawi (Kamaluddin), wartawan-wartawan ruangan ekonomi BizWeek Edition, The Star nampaknya bagai meletakkan Abdullah dalam keadaan serba salah dengan mendedahkan amalan kronisme dan nepotisme PM dalam akhbar berkenaan, keluaran 2, 3, 4 dan 6 Mac 2004 lalu.

Dalam jadual di bawah, dinyatakan sekali lagi akan tajuk-tajuk berita yang dicetak dalam akhbar milik MCA-BN itu.

2 Mac 2004: “Crest pulls off coup with RM2bil contract”
3 Mac 2004: “Crest shares jump 16%, Scomi joins the ride too”
4 Mac 2004: “Scomi to get a slice of Crest’s RM2bil job”
4 Mac 2004: “Scomi beefs up marine transport operations”
6 Mac 2004: “Crest's gain is Petra's loss"

Begitulah senarai tajuk berita The Star yang disifatkan penganalisis ekonomi/ politik sebagai usaha sabotaj terhadap Pak Lah dan Umno.

Tindakan akhbar The Star dikatakan mempengaruhi Abdullah dalam menentukan tarikh pilihan raya ke-11 baru-baru ini.

Ini kerana beliau bimbang kes ini akan berpanjangan dan bakal menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kewibawaannya yang pernah mendapat jolokan “Mr. Clean”.

Lindungi anak-anak

Ia sekali gus menjadi liabiliti terhadap BN sebagaimana pengalaman ngeri Penasihat Petronas, Dr Mahathir sewaktu menjadi PM, yang turut melindungi perniagaan anak-anaknya.

Walaupun pada asalnya banyak pihak meramalkan pilihan raya bakal diadakan lebih lewat daripada tarikh yang diumumkan (21 Mac), namun tindakan pendedahan oleh The Star yang dikuasai MCA telah memaksa Abdullah untuk mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 Mac, hari kedua serangan dan pendedahan The Star (milik MCA).

Bagaimanapun, jika kita amati secara teliti, tindakan membubarkan Parlimen dan membayangkan tarikh pilihan raya nampaknya tidak menamatkan pendedahan bertalu-talu The Star (milik MCA) ini apabila sehari selepas pengumuman pembubaran tersebut, iaitu pada 4 Mac 2004, dua berita yang kelihatan secara sengaja memfokuskan nama “SCOMI” terus disiarkan.

Sebagai mengakhiri usaha pendedahan secara besar-besaran ke atas perniagaan anak Abdullah ITU, pada 6 Mac 2004, berita dengan tajuk “Keuntungan Crest (SCOMI) adalah di atas kerugian Petra” turut disiarkan.

Selepas 6 Mac, nampaknya tiada lagi berita mengenai SCOMI, yang dilihat mungkin dihentikan berikutan arahan Putrajaya dan desakan jentera BN yang lain.

Kerakusan Kamaludin

Menurut penganalisis politik, aktiviti pendedahan The Star (milik MCA) ini mungkin dibuat berikutan rasa tidak senang MCA di atas kerakusan Kamaluddin yang tidak sabar-sabar membina empayar perniagaan sehingga berbillion ringgit sedangkan pemerintahan bapanya baru melepasi “100 hari” .

Mana mungkin, begitu mudah untuk MCA yang juga dikelilingi usahawan minyak dan gas dapat menerima hakikat bahawa anak lelaki tunggal Abdullah ini jauh lebih tamak dan haloba daripada anak-anak Penasihat Petronas, Dr. Mahathir.

Menurut penganalisis politik, walaupun anak-anak Mahathir dulunya turut menerima habuan daripada amalan nepotisme bapanya dalam Umno-BN, setidak-tidaknya mereka tidaklah begitu gelojoh.

Dipercayai MCA menerima tekanan hebat dari pengusaha berasaskan minyak dan gas apabila Kamaludin membolot projek-projek Petronas, berkaitan pembinaan pelantar minyak yang begitu menguntungkan. Ia juga menutup peluang syarikat lebih kecil untuk berkongsi keuntungan dari “kemewahan” Petronas.

“Selepas Mahathir menjadi PM selama lebih 22 tahun, anak-anaknya tidak pun tersenarai sebagai antara 10 Melayu terkaya di Malaysia, sepertimana dinikmati Kamaludin,” kata pemerhati.

Mulanya RM1 bilion

Projek pembinaan pelantar minyak luar pantai yang berjaya diperolehi anak Abdullah ini pada asalnya dikatakan hanya bernilai satu bilion ringgit.

Namun tidak seperti yang dijangka oleh penganalisis pasaran, nilai projek berkenaan tiba-tiba meningkat kepada RM2 bilion.

Ramai tertanya-tanya, bagaimana nilai projek boleh meningkat dua kali ganda. Apakah ada amalan yang mencurigakan di dalamnya?

Apa yang turut menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan ramai ialah kejayaan Crest yang dikuasai oleh SCOMI berjaya membolot keseluruhan projek yang pada peringkat awalnya dikongsikan dengan Petra Perdana, syarikat bumiputera yang dikuasai oleh Tengku Ibrahim Petra.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh wartawan BizWeek (The Star) dalam edisi 4 Mac lalu, SCOMI juga telah menghantar dokumen tender bagi pembinaan 13 buah kapal tangki baru untuk Petronas untuk jangka masa 10+5 tahun! Dianggarkan nilai projek membina dan membekal kapal tangki pengangkut minyak ini boleh mencecah hampir RM1.5 bilion.

Kisah tamak

Sebenarnya, cerita tentang Kamaluddin yang terlalu tamak ini memang sudah tersebar luas di kalangan kakitangan Petronas.

Tidak memadai hanya melalui Crest, SCOMI turut dilaporkan mengambil alih syarikat Hyrax Oil Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikuasai oleh Hazimah Zainuddin, adik bekas Menteri Kewangan.

Akibat tindakan Kamaluddin yang tidak dapat dibendung lagi, Hazimah telah digantikan oleh seorang pengarah urusan baru yang dikatakan masih muda.

Ini, secara tidak langsung turut membuktikan bahawa Abdullah dan kroninya telah memastikan tiada saingan bagi mereka membolot dan menyedut hasil kekayaan Petronas.

Lagi projek baru, proses minyak pelincir

Melalui Hyrax Oil, SCOMI kini dikatakan dalam proses mendapatkan kontrak bernilai ratusan juta ringgit bagi memproses minyak pelincir untuk Petronas. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, kontrak ini akan diluluskan tidak berapa lama lagi, mungkin selepas pilihan raya jika BN kekal memerintah dengan majoriti yang besar.

Menurut sumber-sumber berkenaan lagi, SCOMI melalui Hyrax Oil sebenarnya tidak layak untuk mendapat projek tersebut. Bagaimanapun tekanan yang diberikan oleh pejabat Perdana Menteri telah meletakkan pegawai-pegawai di Petronas dalam keadaan serba salah dan mungkin terpaksa meluluskan satu lagi projek untuk SCOMI.

Cuba bayangkan, bagaimana dalam masa singkat Kamaludin membolot projek Petronas, bermula pelantar minyak, kemudiannya kapal pengangkut minyak dan akhirnya memproses minyak pelincir, satu bidang yang menjanjikan pulangan lumayan dengan pasaran global.

APA KAITAN SCOMI DENGAN MCA?

Dengan membolot projek-projek mega bernilai ribuan juta dari syarikat negara seperti Petronas, SCOMI bukan sahaja meminggirkan syarikat bumiputera lain seperti Petra Perdana, ia sudah tentunya juga mengetepikan banyak syarikat kaum Cina yang lain.

Dengan mengambil alih Hyrax Oil, SCOMI sebenarnya telah menidakkan banyak syarikat lain dalam industri minyak pelinciran yang sebahagian besar dikatakan mempunyai hubungan baik dengan bekas pemimpin MCA Ling Liong Sik yang pernah menjadi Menteri Pengangkutan dan orang penting Huaren Holdings.

Dengan menggunakan akhbar sebagai alat menyatakan rasa tidak senang mereka di atas tindakan Kamaluddin itu, MCA nampaknya mengesahkan lagi dakwaan pembangkang bahawa pentadbiran Abdullah bukanlah lebih baik baik berbanding Mahathir.

Abdullah mungkin tersilap perkiraan. Beliau mengira dengan mengawal semua akhbar utama berbahasa Melayu dan NST, tiada lagi berita yang boleh menimbulkan masalah kepadanya.

Mungkinkah selepas The Star membuat siri pendedahan mengenai pembolotan Kamaludin dalam projek Petronas itu maka ia akan diperhatikan lebih dekat lagi, kalau pun editornya tidak dipecat!

Namun selepas The Star menghentikan serangannya ke atas Abdullah, tugas ini kelihatan disambung pula oleh Mingguan Malaysia, 7 Mac lalu.

Dalam wawancaranya dalam akhbar berkenaan, Abdullah secara jelas mengelirukan rakyat Malaysia, malah berbohong.

Abdullah dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan mengatakan bahawa anaknya berniaga di luar negara, dalam bidang yang berkaitan dengan minyak dan gas dan Abdullah dengan bangga mendakwa anaknya itu pandai menguruskan perniagaannya.

“Kalau orang hendak kaitkan soal anak saya dan menjadikannya sebagai isu peribadi, saya tidak bimbang sebab saya tidak membantu anak saya dapat kontrak.

"Saya tidak mengamalkan nepotisme dengan anak saya, tidak juga kronisme. Saya tidak membantu dan memberi apa-apa,” kata Abdullah.

Persoalannya, apakah wang Petronas berbillion ringgit itu datangnya dari luar negara, dan negara manakah pula yang memiliki Petronas, kalau bukan Malaysia.

Sebagai Perdana Menteri, hanya Abdullah mendapat akses tentang kedudukan kewangan Petronas dan bagaimana ia dibelanjakan.

Beliau tentunya dapat mempengaruhi, langsung atau tidak langsung, transaksi perniagaan dalam julat besar.

Selama ini umum mendesak supaya laporan kewangan Petronas dapat dibahas di Parlimen, bukannya menjadi milik eksklusif PM.

Jalan keluar

Bekas Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar mencadangkan jalan keluar kepada Abdullah, agar menyaman The Star bagi membuktikan sememangnya tiada kontrak RM2 bilion diberikan Petronas kepada anak-anaknya.

Abdullah mungkin memberi daleh bahawa dia tidak terbabit dalam hal itu. “Rezeki anak saya, nak buat macam mana, dan dia memang pandai bisnes!”

Apakah Abdullah juga mahu menjual Petronas kepada negara luar sama seperti Telekom Malaysia yang sudah terjual sebanyak lima peratus kepada Temasek Holdings dari negara jiran yang sering bertelagah dengan Malaysia?

Sekiranya Telekom terpaksa dijual kerana kononnya untuk membantu pengambilalihan Celcom oleh Tajuddin Ramli, apakah Petronas nantinya terpaksa dijual akibat mahu memberikan segala projek kepada anak Abdullah?

Abdullah, tanpa segan silu, sanggup mengatakan bahawa SCOMI adalah satu-satu syarikat yang menjalankan jenis perniagaan berkaitan minyak dan gas di Asia Tenggara.

Tidakkah beliau malu untuk mengaku sedemikian sedangkan syarikat Petra Perdana yang ditendang keluar dari projek Petronas itu juga datangnya dari Malaysia dan dikuasai Bumiputera, turut mempunyai kepakaran yang mungkin sama, kalaupun tidak lebih baik dari SCOMI?

Apakah kehebatan anak tunggal Abdullah ini, sehinggakan seolah-olah dia saja yang mampu menguruskan minyak dan gas di Asia Tenggara?

Proksi Mahathir

Tidak dinafikan bahawa Abdullah memerlukan wang yang banyak untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Umno, apatah lagi dia dibayangi oleh ancaman Najib yang dikatakan proksi Mahathir.

Namun merompak hak rakyat sewenang-wenangnya, terutama dari Petronas, seperti dilakukan ramai pemimpin sebelumnya bukanlah cara yang boleh diterima, apatah lagi oleh seorang yang bergelar “Mr. Clean”.

Namun pemerhati politik berpendapat bahawa masih ramai pengundi negara ini yang tidak memahami bagaimana skandal dan tindakan merampas projek-projek mega oleh pemimpin negara ini akan menjejaskan harga barang dan taraf hidup rakyat rakyat Malaysia.

Jika mereka memahami keadaan ini, pastinya tarikh 21 Mac ini tidak akan memberikan keselesaan kepada Abdullah kerana pembangkang yang kuat boleh menghasilkan kerajaan yang lebih menghormati hak, harta dan maruah rakyat.

Tidak mustahil jika PAS dapat menawan beberapa negeri, khususnya Kedah dan Perlis, apabila rakyat didedahkan dengan amalan kronisme melampau Abdullah ini.

Menteri-menteri kini sibuk menjanjikan projek ratusan juta ringgit buat masyarakat luar bandar, tetapi apa sangat nilainya berbanding projek Petronas yang dihadiahkan kepada Kamaludin.

 
  Justice For All