| BOOKMARK THIS PAGE |
|
|
|
|
||
|
Pulangnya Anwar... Oleh: Mohd Zukri Aksah |
||
|
|
||
|
Sireh
pinang di dalam puan 31hb Oktober 2004, pada jam 10.00 pagi, Anwar akan kembali ke pangkuan rakyat Malaysia. Begitulah, jika peristiwa ini berlaku ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu, maka saya tentu akan mencadangkan supaya beliau disambut dengan tepak sirih yang diarak di dalam puan, lambang pulangnya seorang perwira perkasa.
Tentulah
saya merasa hairan bila wujud pula cadangan yang saling bertentangan dalam
hal menerima kepulangan Anwar ini. Apa salahnya menyeru rakyat untuk
berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala
Lumpur (KLIA)? Dari segi status, ia tidak berbeza dengan sebuah keluarga
yang menyambut ketibaan ketua keluarganya di sebuah lapangan terbang, cuma
kali ini mungkin saiz keluarga itu yang berbeza, ia agak besar! Jadi apa
masalahnya? Bimbang kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku? Apakah
kesesakan akan menyesakkan? Anwarlah dulu yang membangkitkan hampir 200,000
rakyat untuk berhimpun di Masjid Negara, Masjid Negara terus berdiri kukuh
sampai hari ini, tiada satu tiang pun yang patah, tiada walau sehelai
sejadah pun yang hilang dicuri! Kita pernah menghimpunkan 100,000 rakyat di
Lebuhraya Kesas, tidak pernah pula ada laporan kemalangan kenderaan berlaku
pada hari itu, memang ada motosikal-motosikal yang terbalik, itupun setelah
diterajang oleh anggota-anggota FRU; kecederaan? memang ada berlaku! Seorang
pernah masuk ICU kerana tembakan peluru gas pemedih mata, yang lain sakit
dipukul belantan, juga oleh anggota-anggota FRU itu. Apakah insiden-insiden
ini yang kita risaukan? Jika ya, saya merasa amat malang kerana kita sudah
mula terperangkap dengan rasa ketakutan yang sengaja dimomok dan
dipropagandakan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Padahal Anwarlah dulu yang
berkata, kalau kita takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan.
Lagipun, sejak bila orang yang bernama Anwar ini takut untuk berhadapan
dengan himpunan lautan manusia? Asasnya, Anwar adalah ahli politik. Sosoknya masih terus dominan dan mempengaruhi senario politik tanahair. Siapa kata Anwar tidak boleh berpolitik sehingga 2008? Anwar hanya tidak boleh memegang jawatan politik dalam tempoh ini. Bukankah daya fikir politik Anwar masih boleh terus berbicara melalui lidah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail? Maka landasan politik terbaik buat Anwar adalah Parti Keadilan Rakyat, parti yang berevolusi selama lima tahun ini dan tidak pernah surut pula momentumnya dalam memperjuangkan nasib dan idea beliau. Atau, adakah dari kalangan kita yang memandang rendah parti sendiri? Bimbang tidak akan mampu menyerlahkan karisma, wibawa dan gagasan Anwar Ibrahim? Bukankah bijak-pandai kita dahulu pernah berkata, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya! Politik adalah perjuangan prinsip, mesti ada wadahnya, mesti ada tanah yang perlu kita pijak, kerana kita tidak boleh menjadi pejuang atas angin, nanti kita juga yang akan dituduh tiada pendirian. Hati yang luhur berjuang tidak boleh ada rasa tamak, mahu menggapai semuanya, natijahnya nanti jadilah kita seperti Mirza Ghulam Ahmad, sekejap mengaku Nabi, sekejap mengaku Dewa Hindu, kerana apa? Kerana keinginan beliau sangat besar untuk melangkau batas yang sudah jelas dan tetap. Bila beliau mengangkat kedua-dua kakinya, jatuhlah beliau di tengah-tengah garis sempadan, ke kanan tidak, ke kiri pun tidak, jadilah beliau sesesat-sesat manusia. Jauhilah hati dari rasa ujub yang membinasakan. Ini semua, walau bagaimanapun tidaklah membuat saya menolak bahawa perlunya kita bersama dengan institusi-institusi politik dan bukan politik lain dalam memperjuangkan nilai-nilai kebersamaan yang kita pegang, tetapi mestilah dalam keadaan kita masih berpijak di tanah kita, berwadah dan tanpa meninggalkan ruang yang menjunjung seluruh prinsip yang kita perjuangkan. Ruang yang betul dalam berpolitik adalah penting, kerana rupa-rupanya politik ini seperti seni juga, sekali memasuki, selamanya akan terus bergelumang, sukar untuk berpatah balik, dan menghampiri istilah jalan sehala. Sangat bahaya jika kita silap memilih ruang atau cuba berpolitik tanpa mahu disandarkan pada mana-mana ruang khusus. Silap-silap cara kita mungkin akan gila meroyan, seperti Datuk Paduka Ibrahim Ali atau Datuk Suhaimi Ibrahim, paling tidak pun seperti Roslan Kassim. Saya menunggu kepulangan Anwar, menunggu dengan harapan Anwar akan berada dalam dakapan Parti Keadilan Rakyat. Saya sangat menghormati Nelson Mandela, saya juga mahu menghormati Anwar pada darjat yang sama...
Majulah kekanda
Mohd Zukri Aksah
|
||
| Kembali ke Laman Pilihanraya Umum Malaysia Ke 11 | ||