| BOOKMARK THIS PAGE |
|
|
|
|
||
|
Antara kejayaan Zahid dengan Irma Nurzahrah |
||
|
|
||
|
HARI ini jika ditanya 10 orang Melayu di
negara ini, mungkin lima atau lebih
daripada mereka kenal siapa dia Zahid, bukan
Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pelancongan, tetapi Ahmad
Zahid Baharuddin juara Akademi Fantasia 2
(AF2). Tetapi jika ditanya siapa anak Melayu bernama Irma Nurzahrah Junian, jangankan 10, tanya 1,000 orang Melayu pun belum tentu ada yang mengenali beliau. Kejuaraan Debat Universiti Dunia yang diadakan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura awal tahun ini disertai lebih 1,000 peserta daripada lebih 100 universiti termasuk Malaysia. Irma Nurzahrah, 22, dari Malaysia dinobatkan pemidato terbaik dunia apabila beliau mengalahkan peserta dari Universiti British Columbia dan Universiti Alberta, Kanada pada peringkat akhir. Tetapi sayangnya, orang kita mungkin kurang tahu hal ini kerana kurang atau tiada liputan media mengenainya. Inilah manifestasi kemelut minda orang Melayu yang seolah-olah tidak tahu lagi membezakan antara kaca dengan permata. Ia bukan saja menjangkiti orang Melayu kebanyakan bahkan kelas atasan seperti ahli korporat, pemimpin dan cerdik pandai turut dijangkiti 'wabak' ini walaupun bukan semua. Budaya mengidolakan artis atau berhibur semakin menjadi-jadi dewasa ini bahkan ada kalanya sehingga pada tahap melampau. Jika tiada hiburan majlis, program, sambutan dan apa saja peristiwa seakan-akan tidak sempurna. Daripada program amal sehinggalah ke program motivasi pelajar sekolah, artis mendapat tempat amat istimewa pada mata penganjur. Mungkin inilah puncanya sehingga ulama terpaksa bersuara agak nyaring sehingga menusuk gegendang telinga banyak pihak yang mendengar. Hatta, pada Muktamar Pas, baru-baru ini turut dilaporkan ada cadangan daripada ahli sayap Wanita parti itu yang bercadang ingin mengguna pakai pendekatan berkonsert bagi menarik minat lebih ramai orang muda terhadap parti itu, walaupun kononnya dengan pendekatan yang lebih Islamik. Soalnya, kenapa mesti hiburan? Untuk 'perjuangan' 10 minggu, artis seperti Zahid di AF2, Melayu sanggup menitiskan air mata, berbelanja sehingga RM7.5 juta untuk khidmat pesanan ringkas (SMS), demam panas, membuang masa berjam-jam menonton televisyen serta mengadakan majlis sambutan dan penghargaan untuknya setelah beliau dinobatkan sebagai juara. Kebetulan hampir semua universiti baru saja selesai mengadakan majlis konvokesyen masing-masing. Tetapi bagi pelajar Melayu yang lulus cemerlang selepas berhempas pulas bertahun-tahun memerah otak untuk memakai jubah dan menerima ijazah pada majlis konvokesyen, ada sesiapa yang menangis selain ibu bapa mereka atau membuat sambutan bagi menghargai usaha dan kejayaan mereka kerana mereka anak kelahiran tempat atau daerah tertentu? Apakah usaha Zahid seorang sehingga berjaya menyarung jubah 'konvokesyen' AF2 setanding usaha seorang pelajar Melayu yang berjaya menamatkan pengajian walaupun cacat penglihatan? Apa hebatnya Zahid yang berjaya
mengalahkan peserta dari negeri lain
dengan mendendangkan lagu Biarkan Bulan Bicara dan
Milikku berbanding Irma Nurzahrah dan rakannya Raihan Ismail yang
berjaya ke peringkat akhir debat
dunia kategori bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua
membahaskan tajuk That Japan Should Involve In Peacekeeping In
Foreign Land mengalahkan peserta dari
negara lain? |
||
| Kembali ke Laman Pilihanraya Umum Malaysia Ke 11 | ||